Kelebihan dan Keutamaan
Adzan dan Iqamah Dalam Islam
Assalamualaikum Wr.Wb - Kami selaku admin MI Al Mustofa akan membahas tentang pengertian Kelebihan/Keutamaan Adzan. mari kita simak bersama :Adzan dan Iqamah Dalam Islam
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Adapun azan menurut syarak bererti zikir yang ditentukan untuk
pemberitahuan Sembahyang Fardu Lima Waktu dan mula disyariatkan pada
Tahun Pertama Hijrah di Madinah. Perkara ini telah diceritakan dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abdullah
bin Umar katanya yang bermaksud :
“Semasa orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu
memperkirakan waktu sembahyang dan tidak ada seorang pun yang menyerukan
untuk sembahyang. Pada suatu hari mereka pun membincangkan hal itu.
Berkata sebahagian mereka : Ambillah ‘nakus’ (loceng) seperti nakus
orang-orang Nasrani (Kristian). Berkata sebahagian yang lain pula :
Ambillah ‘buuq’ (terompit) seperti terompit orang-orang Yahudi. Lalu
berkata Umar : Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan
sembahyang? Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Wahai bilal,
berdirilah dan serulah untuk sembahyang”.
Maka buat kali pertamanya azan pun dilaungkan dengan kalimah-kalimah
yang suci dan ini membuktikan betapa seruan azan itu merupakan simbol
syiar Islam yang unggul lagi tersendiri dan bukannya ditiru dari
mana-mana adat atau budaya asing.
Sesungguhnya seruan azan itu mempunyai banyak hikmah dan
kelebihannya. Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu
mempunyai empat hikmah iaitu :
Pertama : Untuk menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid.
Kedua : Untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang.
Ketiga : Untuk memberitahu tempat sembahyang.
Keempat : Untuk memanggil berjemaah.
Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak
kelebihan-kelebihan antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir
syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis maksudnya :
“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam bersabda : Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang,
syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari
sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan
itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang
diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu
barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu
dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah
begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak
sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa
rakaat dia bersembahyang”.(Hadis Riwayat Bukhari).
Perlu diketahui juga bahawa waktu atau masa di antara azan dan iqamah
merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh
Allah Subhanahu Wata’ala. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa
pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka
berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah? Baginda bersabda :
Kamu memohon kepada Allah afiat (keselamatan) di dunia dan di akhirat”.
(Riwayat Al-Imam At-Termidzi).
Islam telah mengajar kita cara-cara untuk menghormati azan, antaranya
ialah jika kita mendengar seruan azan atau iqamah sedang dilaungkan,
maka sunat kita berhenti sekejap untuk menjawab seruan azan, bukan
dengan mengambil sikap sambil lewa dan tidak acuh seperti tidak
memperdulikan seruan azan yang dilaungkan, seolah-olah tidak
mendengarnya apatah lagi untuk menyahut seruan azan tersebut.
Oleh itu hormatilah azan dengan menjawab azan yang dilaungkan oleh
muazzin iaitu dengan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazzin
itu.
Berselawat kepada Nabi Muhammad saw selepas azan adalah sahih dan
thabit dari baginda SAW melalui sabdanya yang bermaksud : “Sekiranya
kamu mendengar muazzin (azan) , maka ikutlah seperti apa yang
disebutkan. Kemudian, berselawatlah kamu kepadaku. Maka barangsiapa yang
berselawat kepada ku sekali selawat, nescaya Allah swt akan berselawat
kepadanya 10 kali.” (Hadis Riwayat Muslim : 384 , Abu Daud : 523 ,
Tirmizi : 3614)
Doa selepas azan atau iqamah adalah sebagaimana berikut;
(Allahumma rabba hazihid da’ watittamah. Wassolatil qaimah. Ati
saiyidana Muhammadanil wasilata wal fadhilah. Wassyarafa waddarajatal
‘aliatar rafi’ah. Wab’athhul maqamal mahmudal lazi wa’adtah. Innaka
laatukhliful mii’ad.)
Maksudnya: “Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan
azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang
tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi
Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji. “
Agama Islam sendiri telah mengajar bahawa jika seseorang itu
mendengar azan atau iqamah, walaupun ketika itu dia sedang membaca
al-Quran, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, maka sunat bagi orang itu
berhenti sekejap untuk menjawab azan atau iqamah. Sunat juga menjawab
azan dan iqamah walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haid atau nifas
kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika dalam sembahyang fardu atau
sunat, bersetubuh dan qadak hajat (buang air kecil atau besar) namun
sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya.
Ini jelas kepada kita sedangkan ketika beramal ibadat juga kita
disunatkan menjawab azan, maka apatah lagi ketika berbuat
perkara-perkara yang lain seperti sedang berbual-bual, menonton
televisyen, bersukan dan sebagainya, bukankah lebih utama baginya untuk
berhenti seketika bagi mendengar dan menjawab azan yang sedang
dilaungkan?.
Dalam perkara ini juga terdapat suatu keadaan yang tidak menyenangkan
berlaku di mana terdapat sebilangan orang yang seolah-olah tidak
mendengar seruan azan apabila ia dikumandangkan, baik ketika berada di
dalam masjid atau berdekatan masjid atau di mana saja ia berada. Begitu
juga keadaan di pasar-pasar raya khususnya yang berdekatan dengan
masjid, pada masa seruan azan dilaungkan, ketika itulah juga lagu-lagu
nyanyian dan muzik dimainkan tanpa diberhentikan. Oleh yang demikian,
sebagai sebuah negara Islam dan selaku umat Islam, kita hendaklah
menghormati azan sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama kita.
Kelebihan Adzan Dan Iqamah.
Muazzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amin).
Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhamin). Kedua-duanya
mempunyai kelebihan dan kebaikan di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Imam-imam
itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan
itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk
kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat
Ibnu Hibban)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maka azanlah
untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu, kemudian hendaklah yang
mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai
kelebihan-kelebihan azan dan iqamah dan orang yang melaungkannya.
Antaranya ialah:
1. Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya .
Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui
tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka
tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya
mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada
at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan
berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa
(kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isyak) dan subuh nescaya mereka
mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
2. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya.
Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya maksudnya: “Bahawasanya
Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah
dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris
hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh
suaranya dan akan dipersaksikan dia oleh sesiapa yang mendengarnya
daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti
pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan
an-Nasa’ie)
3. Mengusir Syaitan.
Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan
azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil
terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak
terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi
sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri.
Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia
melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan
berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap
sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak
mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari,
Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)
4. Mendapat Pahala Yang Banyak.
Sebagaimana di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya maksudnya: “Aku
pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari
kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di
hari kiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.
Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di
Padang Mahsyar melepaskannya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan
ramainya orang pada hari perhitungan itu.
5. Balasan Syurga.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Barangsiapa
azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis
untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan
pada setiap iqamah pula tiga puluh kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
6. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Kiamat
Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya
maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy radhiallahu ‘anhu berkata
kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau
menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing
atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah
suaramu ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang
azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi
baginya di hari kiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan
an-Nasa’ie)
7. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Jika
dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit
dan dimakbulkan doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Sabda Baginda lagi maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa,
iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan
Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Allah tidak menolak doa hambanya diantara waktu azan dan waktu iqamah”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Sahabat yang dikasihi Allah SWT,
Marilah sama-sama kita menyahut seruan azan apabila dikumandangkan
oleh muazzin menandakan masuknya waktu solat fardu. Ingatlah tidak ada
amalan yang terlebih baik dikerjakan oleh seorang mukmin melainkan dia
mengerjakan solat selepas menengar azan. Tinggalkan semua perkerjaan
duniawi dan utamakan seruan panggilan kepada Allah SWT (untuk solat).
Tidak akan berkat sesuatu amalan yang membelakangkan suruhan Allah SWT.
“Jazakumullah khairan katsiran. Wa jazakumullah ahsanal jaza"
sekian dari kami selaku admin MI Al Mustofa ^_^
jika ada kata dalam penulisan beserta artinya, kami mohon maaf
jangan lupa LIKE dan SARAN berupa komentar yaaa..??? ^_^
Wassalamu'alaikum..

0 Komentar:
Posting Komentar